Monday 23 March 2015

PENDAHULUAN

Senario kemunculan ajaran sesat seringkali berlaku. Kemunculannya merentasi masa, tempat dan keadaan. Sama ada di zaman awal peradaban Islam di alaf millenium mahupun akan datang. Paparan isu kebanyakannya didedahkan oleh pihak media secara terbuka sama ada media massa ataupun media cetak tidak kurang juga laman sesawang. Memandangkan ia berkait rapat dengan agama, maka perhatian terhadapnya diberi satu tumpuan.  Ajaran sesat bukanlah perkara baru yang berlaku di Malaysia, sebaliknya telah mula menular sejak di awal kedatangan agama Islam di rantau ini. Isu ajaran sesat mula mendapat perhatian dengan munculnya ajaran Ayah Pin di Terengganu yang mengaku dirinya memiliki kuasa seperti Tuhan, jelmaan semua Nabi dan menjadi dewa bagi semua agama serta memiliki ramai pengikut. Malah, ada pengikut ajaran sesat ini terdiri di kalangan profesional yang dianggap bijak untuk menilai kebaikan dan keburukan sesuatu perkara. Ekoran pengetahuan agama yang cetek, ramai orang mudah terpengaruh dengan ajaran sesat ini. Namun, pada hakikatnya individu yang menjadi dalang di sebalik ajaran sesat ini mempunyai motif tersendiri untuk kepentingan dirinya semata-mata.

Al-Qur’an al Karim telah mengingatkan kita tentang bentuk kesesatan dari pelbagai sudut. Antaranya, kesesatan hawa nafsu, kejahilan, pujuk rayu syaitan dan pengaruh persekitaran sama ada dari teman, perubahan masa dan keadaan. Sesuatu fahaman atau ajaran tidak dikatakan salah atau sesat kecuali jelas kandungannya bertentangan dengan sumber perundangan Islam. Ajaran sesat bukanlah perkara baru yang berlaku di Malaysia, sebaliknya telah mula menular sejak di awal kedatangan agama Islam di rantau ini. Isu ajaran sesat mula mendapat perhatian dengan munculnya ajaran Ayah Pin di Terengganu yang mengaku dirinya memiliki kuasa seperti Tuhan, jelmaan semua Nabi dan menjadi dewa bagi semua agama serta memiliki ramai pengikut. Malah, ada pengikut ajaran sesat ini terdiri di kalangan profesional yang dianggap bijak untuk menilai kebaikan dan keburukan sesuatu perkara. Ekoran pengetahuan agama yang cetek, ramai orang mudah terpengaruh dengan ajaran sesat ini. Namun, pada hakikatnya individu yang menjadi dalang di sebalik ajaran sesat ini mempunyai motif tersendiri untuk kepentingan dirinya semata-mata.



DEFINISI

Ajaran sesat ialah sebarang ajaran atau amalan yang dibawa oleh orang-orang Islam atau orang-orang bukan Islam yang mendakwa bahawa ajaran dan amalan tersebut adalah ajaran Islam atau berdasarkan kepada ajaran Islam hakikatnya ajaran dan amalan yang dibawa itu bertentangan dengan Islam yang berdasarkan Al-Qura'an dan Sunnah serta bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

 Menurut Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, orang-orang yang sesat ialah orang-orang yang tidak berpengetahuan agama kerana tidak berusaha mempelajarinya atau orang yang berpengalaaman agama yang tidak betul kerana tidak menurut peraturan dan jalan sebenarnya.

Manakala, menurut Oxford English Dictionary, ajaran sesat adalah pandangan yang dianggap berlawan atau bertentangan dengan doktrin Gereja Katholik atau ortodoks atau dalam pengertian yang lebih luas dengan gereja, keyakinan atau sistem keagamaan manapun yang dianggap ortodoks atau ajaran benar. Dalam pandangan Islam, ajaran sesat ini adalah ajaran yang berbeza dengan apa yang umumnya diakui telah dibawa oleh Nabi S.A.W dan berdasarkan Al-Qur'an, sunnah dengan mengikut Ahli Sunnah Waljamaah.


CIRI-CIRI AJARAN SESAT

• Mengubah prinsip-prinsip asas dalam akidah Islam seperti mendakwa menyatukan semua agama termasuk Islam ke dalam agama baru atau mendakwa semua agama adalah sama sebagaimana ajaran Bahai.

• Mendewa-dewakan pemimpin sehingga menganggapnya bersifat maksum, sebagai Imam Mahdi, sebagai nabi, sebagai tuhan, atau jelmaan tuhan sebagaimana ajaran Oadiani.

• Menolak perkara yang qat'ie dalam Islam seperti menghapuskan jihad sebagaimana ajaran Qadiani dan Bahai.

• Mengubah bentuk-bentuk ibadat seperti mengurangkan ibadat puasa kepada 19 hari dan bersolat hanya dengan niat sebagaimana ajaran Bahai.

• Mengubah konsep dosa dan pahala seperti memberi kuasa penebusan dosa kepada seseorang seperti ajaran Tariqat Al-Mufarridiah.

• Mendakwa boleh melakukan perkara-perkara pelik yang bersangkutan dengan perkara-perkara ghaib seperti memanggil roh orang mati termasuk roh para nabi, wali, dan malaikat.

• Mendewa-dewakan sesuatu selain Allah S.W.T. seperti menyeru nama orang-orang yang telah meninggal dunia di dalam doa atau jampiansebagaimana yang dilakukan oleh bomoh atau dukun yang mengamalkan ilmu hitam.

• Mengaku diri atau gurunya sebagai Nabi atau wakilnya dan mendakwa menerima wahyu.

• Mengaku diri atau gurunya sebagai Imam Mahdi atau mempercayai bahawa orang-orang tertentu tidak mati dan akan muncul sebagai manusia yang istimewa seperti Imam Mahdi (ajaran sesat Qadyani, Bahai, Empat Sahabat, Nasir dan Mufarridiah).

• Mempercayai bahawa roh orang yang mati menjelma semula ke dalam jasad orang yang masih hidup.

• Mendakwa pengikut-pengikut ajaran/tarikatnya sahaja yang dijamin masuk syurga.

• Mendakwa gurunya memegang kunci pintu syurga.

• Mempercayai bahawa gurunya boleh menebus dosa dengan wang.

• Mendakwa bahawa semua agama adalah sama.

• Mempercayai bahawa orang yang telah mati boleh memberi pertolongan apabila namanya diseru.

• Memohon kepada objek tertentu seperti batu, cincin dan sebagainya untuk sampai kepada Tuhan.

• Melakukan penyerahan rohani dan jasmani kepada guru melalui nikah batin dengan tujuan untuk mendapat anak yang soleh atau anak hakikat.

• Mengaku Allah menjelma dalam diri.

• Mendakwa atau mengaku dirinya sebagai wakil Nabi yang boleh memberi syafaat kepada muridnya.

• Mendakwa ajaran atau tarikatnya yang diamalkan diperolehi terus daripada Rasulullah s.a.w. secara yaqazah (jaga).

• Mengaku dan mempercayai bahawa seseorang itu boleh berhubung dengan Allah melalui Nur Muhammad yang berada di dalam dirinya dan mendakwa akan masuk ke syurga.

• Memansuhkan syariat Islam seperti sembahyang, puasa, haji dan membuat syariat baru atau menganggap setelah sampai kepada hakikat maka tidak perlu lagi syariat.

• Meninggalkan sembahyang Jumaat kerana mengamalkan suluk.

• Mendakwa bahawa ibadat haji tidak semestinya ditunaikan di Mekah tetapi boleh ditunaikan di tempat-tempat lain.

• Mengubah dengan sengaja ayat al-Quran dan maksudnya.

• Mengakui dan mempercayai bahawa tangkal boleh memberi kesan.

• Mendakwa bahawa setiap yang zahir ada batinnya dan setiap ayat yang diturunkan ada takwilnya seperti puasa, zakat, haji, nikah dan sebagainya. Mereka mendakwa orang yang mengamalkan syariah hanya kulit dan tidak sampai kepada matlamat sebenar.


TEKNIK PENYEBARAN AJARAN SESAT

Perhati
Penyebar mesti pandai dan memahami hati serta pendirian orang yang dipikat. Mangsa selalunya seorang yang warak dan kuat mengerjakan amal ibadat. Penyebar ajaran sesat akan berpura-pura lebih kuat beragama dan beribadat daripada mangsa.

Beramah mesra
Penyebar cuba mencari jalan untuk mendampingi dan mendekati orang yang hendak dipengaruhinya. Misalnya, penyebar akan meminta bermalam di rumah orang berkenaan dengan tujuan mengadakan majlis membaca al-Quran dan dalam syarahannya akan diselitkan keburukan ulama lain.

Mencetus keraguan
Jika seseorang itu mengerjakan sembahyang fardu dan sunat dengan tekun dan tidak berhenti-henti, mereka akan menimbulkan pertanyaan apakah hikmah dan tujuan bersembahyang.

Gantung tidak bertali
Setelah tujuan penyebar berjaya menimbulkan keraguan dalam pemikiran seseorang dan orang yang dipikat benar-benar berminat untuk mengetahui pelbagai rahsia seperti rahsia di sebalik huruf awal surah, sembahyang dan puasa, penyebar seringkali bersikap ‘pura-pura jual mahal’. Jika didesak penyebar akan meminta mangsa bersabar, banyak mengerjakan sembahyang dan amal ibadat.

• Ikat
Selepas diberitahu rahsia, mangsa diminta bersumpah tidak membocorkan rahsia. Mangsa ‘diikat lidah’ agar tidak membocorkan ilmu atau rahsia buat selama-lamanya.


Kesamaran
Penyebar ajaran sesat selalunya mengeluarkan kata-kata yang ‘berat dan kabur’. Contohnya, “manusia itu ada bermacam pendapat, bertentangan antara satu sama lain. Masing-masing mengatakan pihaknya betul. Tetapi kita dengan mengenal diri, maka mengenal Allah dan Allah tidak menyembunyikan kebenaran, manakala orang lain berada dalam keadaan meraba-raba”.

MANGSA AJARAN SESAT
• Mereka yang jahil dan kosong jiwa kerana tidak mempunyai pengetahuan agama yang cukup. Mereka turut didorong oleh kawan supaya berguru menerusi orang tertentu yang mengajar secara rahsia dan sulit.

• Mereka yang ghairah mencari ketenangan jiwa dan kesempurnaan terutama menerusi unsur kerohanian dengan cara jalan singkat tanpa ikut sunnah.

• Golongan yang menyeleweng dalam hal yang berhubung usul. Ini berlaku kerana kurang kemantapan dalam usul syariah dan tunjangan serta pengetahuan yang lemah dalam shaddik dan ikhlas. Mereka mendakwa diri hampir dengan Allah dan berada di makam tertinggi.


KESAN BURUK MENGAMALKAN AJARAN SESAT

1. Kesan terhadap individu:

(a)    Akidah seseorang akan rosak. Orang Muslim yang mempercayai atau beramal dengan ajaran sesat boleh merosakkan akidah. Mereka wajib bertaubat dan kembali kepada ajaran Islam.

(b)    Masa terbuang. Masa banyak terbuang dengan aktiviti yang tidak sihat dan bertentangan dengan ajaran Islam seperti memuja dan melakukan amalan-amalan syirik serta khurafat.

(c)    Minda seseorang akan tertutup. Pemikiran mereka sering dikongkong oleh pemimpin yang mendakwa mendapat wahyu. Tindakan dan kelakuan mereka menjadi tidak rasional dan fanatik.

(d)    Kehidupan tidak stabil. Penglibatan dengan ajaran sesat membawa kepada pengabaian tanggungjawab sebagai pelajar, suami, isteri, ibu atau bapa.

2. Kesan terhadap masyarakat:

(a)    Keruntuhan institusi kekeluargaan. Keretakan boleh berlaku di kalangan ahli keluarga yang menganut ajaran sesat disebabkan perbezaan akidah dan rasa curiga sesama mereka.

(b)    Perpaduan tergugat. Sikap fanatik penganut ajaran sesat terhadap kumpulan dan pemimpin mereka menyebabkan mereka tidak menghormati masyarakat sekeliling.Ini menjejaskan perpaduan dan keharmonian hidup dalam masyarakat.

(c)    Berlaku keganasan. Kepatuhan membutatuli kepada pemimpin ajaran sesat memudahkan pengikutnya dipergunakan untuk melakukan keganasan.

3. Kesan terhadap negara:

(a)    Negara akan mundur. Penglibatan dalam ajaran sesat menjadikan diri seseorang tidak proaktif dan membuang masa. Perkara itu akan menjejaskan prestasi ekonomi negara yang bergantung kepada sumbangan dan produktiviti individu.

(b)    Negara tidak stabil. Penglibatan dalam ajaran sesat akan mengancam perpaduan dan keharmonian masyarakat. Ini boleh menggugat kestabilan politik dan ekonomi negara. Akibatnya negara terpaksa menghabiskan banyak masa dan perbelanjaan untuk mengekalkan kestabilan negara.


CARA PENYELESAIAN DAN CARA MENGATASINYA

  •  Kembali kepada Al Quran dan As Sunnah


  •  Mengadakan peruntukan undang-undang yang mencukupi untuk membendung dan menghalang ajaran-ajaran yang sesat ini sesuai dengan ajaran Islam itu sendiri.


  •  Melahirkan para pendakwah dan guru-guru agama yang benar-benar peka di dalam persoalan penyelewengan aqidah khasnya dan penyelewengan daripada ajaran Islam serta melatih mereka dengan cara-cara mengatasi masalah-masalah ini.


  •  Memperkenalkan Islam yang syumul merangkumi segala aspek kehidupan manusia di samping mempraktikkannya.


  •  Memberikan ajaran Islam yang mencukupi dan tahan lasak di dalam menghadapi segala bentuk ancaman yang mungkin menggugat aqidah mereka.


  •  Menghapuskan segala bentuk maksiat dan kemungkaran atau sekurang-kurangnya cuba dan berusaha mengurangkannya secepat mungkin, bukan dengan memperbanyakkan pula tempat-tempat maksiat dan membiarkan kemungkaran terus bermaharajalela.


  •  Mempergunakan media massa seluas-luasnya dalam usaha pengajaran Islam yang benar-benar bersih dan tulin kepada masyarakat.


  •  Sentiasa berusaha mengenalpasti penyelewengan aqidah yang berlaku di dalam masyarakat kemudian bertindak dengan secepat mungkin sebelum ia berakar umbi.


  • Sentiasa meminta pertolongan dan menaruh pengharapan kepada Allah s.w.t sebagai penolong dan pembela dalam usaha membasmi penyelewengan aqidah dan ajaran-ajaran sesat.

  • Melengkapkan diri dengan kefahaman Islam yang sebenar. Pengaruh ajaran sesat dapat ditangkis dengan kefahaman Islam yang sebenar melalui proses pembelajaran secara formal atau tidak formal.

  • Menyebarkan ajaran Islam. Ajaran Islam hendaklah sentiasa didedahkan kepada masyarakat menerusi pelbagai kaedah seperti media cetak, elektronik, ceramah, forum, dan simposium.

  • Kerjasama dalam penguatkuasaan undang-undang Penguatkuasaan undang-undang secara bersepadu oleh semua pihak akan dapat membendung kegiatan ajaran sesat daripada terus menular dalam masyarakat.

KESIMPULAN

Sudah terang lagi bersuluh, aktiviti ajaran sesat ini perlu dibendung dan diberi perhatian serius oleh pihak yang bertanggungjawab bagi mengekang perkara ini daripada terus berleluasa. Sekiranya dibiarkan, ianya boleh merosakkan akidah masyarakat Islam dan menghancurkan agama Islam. Ada pihak yang mencadangkan agar diwujudkan Undang-Undang Murtad bagi membolehkan orang Islam yang mengaku keluar daripada agama Islam dikenakan tindakan. Penyeragaman Undang-Undang Syariah juga perlu diberi perhatian bagi memudahkan proses mengambil tindakan terhadap kumpulan ajaran sesat di Malaysia.

Justeru itu, kita seharusnya bersatu dn berkerjasama dalam menangani masalah ini. Kita tidak seharusnya hanya menuding jari kepada pihak tertentu sahaja kerana kita sebagai uamt islam dan juga sebagai rakyat malaysia juga sebagai sebuah negara islam seharusnya menangani masalah ini bersama-sama. Oleh itu, hal ini tidak akan berkembang. Bukan itu sahaja, kita perlulah menangani hal ini supaya tidak berulang kembali dan terus berleluasa seperti sebelum ini.